Kadar Faedah "Interest Rate"

 


1. Pengenalan 

Amalan faedah sudah lama diamalkan sejak dari zaman dahulu lagi sehinggalah kini yang mana biasa diamalkan dalam sistem perbankan konvensional. Dalam perbankan konvensional terdapat pelbagai produk yang ditawarkan dan kesemua produk tersebut boleh dikatakan mempunyai unsur riba. Produk yang ditawarkan terdiri daripada produk jangka masa pendek seperti gadaian, overdraf, pembiayaan peribadi dan kad kredit dan produk jangka masa panjang pula terdiri daripada bil perbendaharaan, saham keutamaan dan bon. Keuntungan yang diperolehi daripada perbankan konvensional adalah dalam bentuk bunga atau faedah yang mana dikenakan kepada pelanggan apabila menggunakan produk yang ditawarkan oleh institusi berkenaan. Tambahan pula, faedah yang dikenakan penting untuk memastikan institusi berkenaan sentiasa diteruskan. Dengan aktiviti faedah yang diamalkan oleh perbankan konvensional, ianya banyak memberi kesan negatif kepada individu, masyarakat dan juga Negara.

 2. Pandangan mengenai faedah dalam perbankan konvensional

      Menurut pandangan saya, sistem faedah atau bunga yang diamalkan oleh perbankan konvensional banyak memberi kesan negatif kepada individu, masyarakat dan ekonomi negara. Dalam Perbankan konvensional kebanyakan keuntungan yang mereka perolehi adalah daripada pelanggan-pelanggan yang mengunakan pelbagai produk yang ditawarkan oleh institusi berkenaan. Keuntungan yang mereka dapat adalah dalam bentuk bunga atau faedah yang mana akan memberikan kesan positif bagi pihak bank, tapi ia memberikan kesan negatif kepada individu, masyrakat dan ekonomi Negara.

 2.1 Kesan kepada individu

          Salah satu kesan negatif kepada individu adalah menyebabkan mereka terbeban dengan hutang. Ramai di kalangan individu yang menggunakan produk yang ditawarkan oleh perbankan konvensional, misalnya produk jangka masa pendek seperti kad kredit dan pembiayaan peribadi. Penggunaan produk tersebut menyebabkan mereka mempunyai tanggungan hutang yang mana ia mengambil masa untuk dijelaskan. Tidak hairanlah buat masa kini, pembayaran hutang tersebut bukanlah perkara yang sentiasa dibuat malah pelbagai perbelanjaan yang lain lagi yang perlu dilakukan oleh sesorang individu selain pembayaran hutang. Oleh itu, penggunaan produk perbankan yang mempunyai kadar faedah atau bunga menyebabkan individu terbeban dengan tanggungan hutang mereka.

          Selain itu, individu sukar membuat simpanan untuk masa depan mereka. Pembiayaan peribadi yang sering dilakukan oleh individu adalah salah satu produk yang mempunyai faedah yang tinggi dalam perbankan konvensional. Apabila menggunakan produk tersebut, ia menyebabkan individu itu akan terikat dengan pembayaran faedah mengikut tempoh-tempoh yang ditetapkan. Pada masa kini, individu banyak menggunakan pendapatan mereka kepada keperluan yang lagi penting. Aktiviti faedah yang diamalkan oleh perbankankan konvensional menyebabkan mereka kurang menabung untuk keperluan masa depan, tidak kiralah untuk simpanan hari tua, simpanan untuk anak, dan sebagainya.

 2.2 Kesan kepada masyarakat

          Pengamalan faedah dalam perbankan konvensional juga akan memberi kesan buruk kepada masyarakat yang mana boleh mewujudkan perasaan dengki dan marah serta kurangnya sikap tolong-menolong. Kadar faedah yang tinggi yang dikenakan oleh perbankan terhadap produk yang digunakan akan menyebabkan timbul perasaan negatif kepada institusi perbankan tersebut. Tambahan pula, jika perasaan dengki dan marah ini berterusan ia boleh membawa kepada berlakunya sesuatu jenayah. Misalnya, antara pemberi faedah dan si penerima faedah yang mana tidak puas hati dengan kadar faedah yang diberikan dan mengambil keputusan untuk melakukan peras ugut, cobaan bunuh dan sebagainya. Selain itu, ia juga akan mengikis sikap tolong menolong dalam masyarakat yang mana mereka akan sukar membuat pinjaman lain sekiranya terikat dengan faedah sebelumnya yang dikenakan oleh institusi berkenaan.

 2.3 Kesan kepada ekonomi Negara.

          Faedah atau bunga yang tinggi dalam perbankan konvensional menyebabkan daya penarik pelabur asing berkurangan dalam Negara. Kita sedia maklum bahawa pelabur-pelabur dari luar Negara salah satu menjadi penyumbang kepada peningkatan ekonomi Negara yang mana membolehkan mata wang Negara terus bertambah kukuh. Namun, apabila daya penarikan pelabur berkurangan ia akan memberi kesan kepada penurunan ekonomi Negara yang mana boleh menyebabkan inflasi berlaku. Di samping itu, pengurangan pelabur-pelabur asing akan menyebabkan berkurangnya pendapatan  dan bertambahnya pengangguran dalam Negara. Ini juga akan memberi kesan kepada penurunan kadar peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam Negara. Oleh itu, amalan faedah yang diamalkan dalam sistem perbankan konvensional akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Negara.

 3. Temubual bersama responden

Saya telah menemu bual 4 responden yang merupakan rakan sekerja saya, bagi mengetahui pendapat mereka berkaitan keburukan amalan faedah atau bunga dalam masyarakat. Antara responden dari kalangan rakan sekerja yang saya temu bual adalah, Mohd Amirul bin Salleh, Cik Juliana binti Madin, Encik Ali Akbar dan Puan Siti Rahmah binti Khairi.

 3.1 Menurut Mohd Amirul Bin Salleh

          Amalan bunga atau feadah akan menyebabkan masyarakat dibebani oleh hutang. Di masa kini, sudah tentu ramai di kalangan masyarakat kita yang membuat pinjaman kepada institusi perbankan untuk keperluan masing-masing, iaitu sama ada untuk mendapatkan rumah, kereta, memulakan perniagaan, pendidikan dan sebagainya. Seperti kita sedia maklum, apabila kita membuat pinjaman daripada institusi perbankan, kita perlu menangung faedah daripada pinjaman yang kita lakukan. Dengan kata lain, kita akan berhutang dengan institusi perbankan tersebut, semakin tinggi nilai pinjaman yang kita buat, maka semakin tinggilah kadar bunga dan hutang yang kita tanggung. Oleh itu, pendapatan atau gaji yang kita terima setiap bulan secara automatik akan ditolak untuk membayar faedah atas pinjaman tersebut. Bagaimana pula dengan keperluan lain yang kita gunakan secara harian dan pembayaran kos-kos yang kita tanggung setiap bulan seperti elektrik, sewa, petrol, dan sebagainya?. Sudah tentu tidak mencukupi. Oleh hal demikian, masyarakat kita akan mengalami bebanan hutang daripada amalan faedah ini kerana tidak semua gaji yang kita dapat mampu untuk membayar kos-kos yang kita tanggung.

 3.2 Menurut Cik Juliana Binti Madin  

          Selain terbeban hutang, amalan faedah atau bunga juga akan menyukarkan kita untuk membuat perancangan baru. Setiap orang di antara kita suda tentu mempunyai kemahuan dan perancangan masing-masing yang hendak dipenuhi. Misalnya, merancang membeli rumah, kereta baru, melanjutkan pelajaran ke peringkat lagi tinggi, membuka perniagaan baru, melancong dan sebagainya. Namun, kita terikat dengan pembayaran faedah yang dikenakan ke atas pinjaman yang kita lakukan. Ini menyebabkan masyarakat kita sukar membuat apa-apa perancangan baru bagi mencapai rancangan dan keinginan mereka. Adakalanya ramai di kalangan kita yang melupakan hasrat mereka untuk membuat rancangan baru tersebut disebabkan faktor terbeban dengan faedah atau bunga yang dikenakan kepada mereka. Tanpa amalan faedah ini, suda tentu segala perancangan yang ingin dilakukan akan mudah di capai tanpa perlu merasa bimbang dengan hutang yang ditanggung. Oleh hal demikian, amalan faedah atau bunga ini menyebabkan segala perancangan yang ingin kita lakukan terhenti disebabkan terikat dengan pembayaran faedah yang diamalkan.

 3.3 Menurut Encik Ali Akhbar       

          Keburukan amalan faedah terhadap masyarakat salah satunya mewujudkan perasaan negatif. Saya boleh katakan ke semua masyarakat di negara ini akan benci dengan amalan faedah yang diamalkan. Segelintir orang mungkin suka dengan amalan faedah, jika sekiranya mereka adalah pemberi faedah tersebut kerana faedah boleh mendapatkan pulangan yang baik kepada mereka. Namun bagaimana pula dengan si peminjam yang terbeban dengan faedah tersebut, di tambah lagi berfikir bagaimana untuk dia melunaskan kesemua faedah itu kepada si pemberi. Ini Secara tidak langsung akan mewujudkan perasaan iri hati, marah, dengki, dan tidak puas hati dengan pemberi faedah tersebut kerana mereka akan terikat dengan kos pembayarannya. Tambahan pula, amalan faedah yang diamalkan, boleh mewujudkan kemurungan kepada masyarakat kita sekiranya bunga atau faedah tersebut sukar untuk di bayar semula kepada si pemberi faedah iaitu bank. Hal ini boleh berlaku, kerana tidak semua di kalangan kita yang mempunyai pendapatan yang tinggi dan segera melunaskan segala faedah ini, sudah tentu di kalangan kita yang akan menggunakan pendapatan mereka ke arah lain seperti keperluan makanan dan lain-lain berbanding pembayaran faedah tersebut. Sekiranya, kadar faedah atau bunga tidak dijelaskan dalam tempoh sepatutnya maka masyarakat akan mudah dilanda kemurungan akibat berfikir panjang bagaimana melunaskan faedah tersebut dengan pendapatan mereka yang tidak tinggi.   

3.4 Menurut Puan Siti Rahmah Binti Khairi

          Amalan faedah menyebabkan ramai di kalangan masyarakat muflis apabila berniaga. Misalnya ada di antara kita yang membuat pinjaman untuk membuka perniagaan. Ini adalah normal, dan ianya baik bagi menambah pendapatan sendiri. Oleh sebab itulah, masyarakat kita berani mengambil bahagian dalam bidang perniagaan ini untuk menilai dan menambah pendapatan bagi meneruskan kehidupan masing-masing. Namun tidak begitu ramai yang mampu bertahan meneruskan perniagaan mereka atas sebab amalan faedah yang dikenakan kepada mereka setelah membuat pinjaman. Peniagaan yang dilakukan ada pasang surutnya. Jika perniagaan yang dilakukan laris di kalangan pelanggan sudah tentu membawa keuntungan, begitu juga sebaliknya jika tidak laris akan membawa kepada kerugiaan. Sekiranya perniagaan yang dibuat tidak laku atau tidak laris kepada pelangan, peniaga akan menanggung faedah atas pinjaman yang dikenakan terhadapnya yang mana perlu dibayar setiap bulan begitu juga kos barang yang hendak dijual dan sewa premis berkenaan. Keuntungan yang diperolehi sebulan belum tentu balik modal kerana kita perlu membayar kadar faedah dari pinjaman perniagaan yang kita buat dan kos-kos lain. Dan ini menyebabkan ramai peniaga yang muflis dan tidak mampu meneruskan perniagaan mereka. Oleh hal demikian, salah satu penyebab peniaga tidak dapat bangun semula atau kembali berniaga adalah faktor amalan faedah ini yang mana membebankan peniaga-peniaga.

4. Kesan negatif faedah dalam perbankan terhadap masyarakat malaysia

4.1 Penindasan

          Dengan amalan faedah yang diamalkan, ia akan membawa kepada penindasan terutamanya dalam menjalankan sesuatu perniagaan dalam negara ini. Misalnya, dengan faedah yang diberikan oleh institusi perbankan ia akan menyebabkan seseorang yang menjalankan perniagaan rasa tertekan dengan faedah yang dikenakan. Di samping itu, perniagaan yang dijalankan belum tentu akan mendapatkan keuntungan yang banyak, yang mana ia boleh membayar faedah tersebut. Oleh itu, dengan amalan faedah ini, ia akan menyebabkan peminjam rasa tertindas dengan faedah yang sangat tinggi yang diberikan oleh institusi perbankan tersebut dan ia membimbangkan peminjam untuk meneruskan perniagaan mereka.

4.2 Melebarkan jurang sosial masyarakat

          Selain itu, dengan amalan faedah yang diamalkan oleh perbankan di malaysia, ia akan melebarkan jurang sosial masyarakat di negara ini. Misalnnya, pihak institusi perbankan berkenaan akan menjadi kaya raya kerana faedah yang diberikan mampu mendapat pulangan atau keuntungan kepada institusi berkenaan, berbeza kepada mereka yang telah dikenakan faedah tersebut iaitu peminjam yang mana menanggung faedah yang diberikan. Dengan itu, ia akan mewujudkan perasaan negatif seperti iri hati, ragu-ragu, marah dan sebagainya yang boleh melebarkan jurang sosial antara mereka.

 4.3 Mengikis sikap tolong-menolong

          Tambahan pula, amalan faedah yang diamalkan oleh perbankan akan mengikis sikap tolong-menolong dalam masyarakat malaysia. Misalnya, apabila mereka terbeban untuk membayar faedah atas pinjaman yang dibuat, Ini menyebabkan mereka terpaksa meminta pertolongan daripada institusi lain. Dengan bebanan faedah yang ditanggung, institusi atau masyarakat sudah tentu tidak akan memberi pertolongan kepada peminjam tersebut disebabkan faktor tiada cagaran dan bebanan hutang yang banyak daripada pinjaman yang telah dilakukan. Dan ini secara tidak langsung mereka tidak dapat dibantu kerana terikat dengan pembayaran faedah daripada pinjaman yang telah mereka lakukan.

4.4 Berhutang dan Melumpuhkan ekonomi.

          Seterusnya, salah satu kesan negatif amalan faedah dalam perbankan terhadap masyarkat malaysia adalah menyebabkan masyarakat berhutang dan menyebabkan ekonomi negara lumpuh. Misalnya, apabila mereka tidak mampu untuk membayar faedah atas pinjaman yang dilakukan ia menyebabkan kadar faedah akan meningkat, maka pihak perbankan akan sukar untuk mendapat pulangan yang diinginkan iaitu faedah yang dikenakan kepada peminjam. Sekiranya, berterusan ia akan menyebabkan ekonomi negara akan lumpuh kerana perbankan tidak dapat modal dan keuntungan yang ditetapkan. Di samping itu, perbankan merupakan salah satu institusi yang memainkan peranan untuk meningkatkan pendapatan negara, sekiranya keuntungan daripada faedah yang dikenakan kepada pelanggan tidak dapat diperolehi maka keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara akan menurun.

 5. Kaedah alternatif agar tidak terjebak dengan aktiviti faedah.

 5.1 Jual beli (Al-Bai’Bithaman Ajil)

           Jual beli adalah salah satu alternatif yang baik untuk mengelak daripada terjebak dengan aktiviti faedah. Jual beli adalah aktiviti niaga yang mana pelangan membeli barang daripada peniaga dengan menggunakan wang sebagai perantaraan untuk mendapatkan barang tersebut. Dalam sistem perbankan islam terdapat satu urus niaga yang dipanggil Al-Bai’ Bithaman Ajil yang merupakan aktiviti perniagaan jual beli secara tangguh yang mana diharuskan dalam islam sama seperti jual beli biasa. Al-bai’ Bithaman Ajil ini adalah satu mekanisma dalam jual beli islam yang mana mengharamkan unsur riba, dan ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran yang bermaksud:

 “Pedahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”. (Surah al-Baqarah, 2:275).

Salah satu perbezaan jual beli tangguh dan jual beli biasa adalah harga jualan, yang mana jual beli tangguh lebih mahal daripada harga biasa dan harga tersebut akan meningkat mengikut tempoh masa penangguhan yang dikehendaki oleh pelanggan. Dengan kata lain, ia adalah urus niaga yang mengambil keuntungan melalui jual beli harta dengan pembayaran adalah tertangguh. Dalam Al-Quran ada menjelaskan berkaitan pengambilan untung yang mana selaras dengan urus niaga Al-Bai’ Bithaman Ajil.

“Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu”. (Surah al-Baqarah, 2:198).

Dengan ini, urus niaga Al-Bai’ Bithaman Ajil, adalah urusan jual beli yang diharuskan dalam islam dan ianya dapat digunakan oleh individu bagi mengelak daripada amalan faedah atau bunga.    

5.2 Pembiayaan secara islam

          Pembiayaan secara islam juga salah satu kaedah atau alternatif supaya tidak terjebak kepada amalan faedah yang mana ianya berbeza daripada pembiayaan yang terdapat di perbankan konvensional. Dalam perbankan islam pembiayaan peribadi dibuat menerusi kontrak jual beli yang mana ia menghasilkan hutang seperti Bai’ Al-Inah dan juga tawarruq. Hutang yang dihasilkan adalah daripada kontrak jual beli dan bukanlah daripada kontrak pinjaman, berbeza daripada perbankan konvensional yang mana pelanggan akan menerima hutang hasil pinjaman wang daripada bank. Dari segi keuntungan yang diterima oleh bank pula, perbankan islam menerima hasil keuntungan daripada ‘profit rate’, manakala perbankan konvensional pula adalah berdasarkan ‘interest rate’ atau lebih dikenali sebagai riba. Tambahan pula, dalam perbankan islam, amaun yang perlu dibayar adalah tetap sepanjang tempoh pembiayaan atau diberikan rebat sekiranya pelanggan membayar keseluruhan pembiayaan lebih awal, berbeza daripada perbankan konvensional yang mana amaun akan berubah mengikut perubahan kadar pinjaman asas. Di samping itu, dalam perbankan islam hanya mengenakan ganti rugi sekiranya lewat untuk pembayaran, berbeza daripada perbankan konvensional yang mana akan mengenakan penalti dalam bentuk ‘compounding’. Dengan ini, pembiayaan secara islam dapat digunakan sebagai satu alternatif bagi mengelak daripada terjebak daripada aktiviti faedah.

 5.3 Pajak gadai Ar-Rahnu

          Ar-Rahnu atau pajak gadai islam juga adalah satu alternatif baik bagi mengelak daripada terjebak dengan aktiviti faedah. Ar-Rahnu adalah sesuatu barang atau emas yang bernilai dan dijadikan cagaran oleh pemiliknya untuk mendapatkan pinjaman. Dalam riwayat Al-Bukhari dan muslim ada mengatakan berkaitan dengan Ar-rahnu iaitu “dari Aisyah R.A yang bermaksud Nabi S.A.W pernah membeli makanan dari seorang yahudi dengan harga yang dihutang oleh baginda dan sebagai tanggungan atas hutang tersebut Nabi S.A.W menyerahkan baju besinya kepada orang yahudi itu. Dengan itu, sistem pajak gadai Ar-Rahnu ditubuhkan atas dasar fardu kifayah dalam islam dan ditubuhkan di Malaysia buat pertama kalinya oleh Majlis Agama Islam Terengganu pada 23 januari 1993 yang mana dikenali sebagai Muassasah dan kini banyak ditubuhkan di seluruh negeri. Perkhidmatan Ar-Rahnu kini disediakan oleh bank-bank tertentu di Malaysia seperti Bank Rakyat, Agrobank, dan bank Islam serta terdapat juga institusi lain seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Permodalan Kelantan Berhad. Tujuan utama Ar-Rahnu, adalah untuk menghapuskan riba atau faedah dan gharar (ketidakpastian) yang mana dikenakan oleh pengusaha kedai gadaian secara konvensional. Salah satu kebaikan Ar-Rahnu adalah dari segi tempoh pembayaran balik yang mana boleh bertolak ansur dengan pelanggan berkaitan pembayaran balik pinjaman yang dilakukan, berbeza daripada pajak gadai konvensional yang meminta wang tambahan sekiranya melanjutkan tempoh pembayaran balik pinjaman.

 5.4 Pelaburan secara islam.

          Seterusnya, kaedah atau atau alternatif lain yang boleh digunakan supaya tidak terjebak dengan aktiviti faedah adalah melalui pelaburan saham secara islam. Dalam perbankan islam tedapat kontrak Al-Mudharabah (pelaburan) yang menggunakan konsep perkongsian keuntungan dan risiko yang sebenar yang mana ianya tidak membebankan kedua-dua pihak atau salah satu pihak yang terlibat. Dengan kata lain, sekiranya mendapat keuntungan, pengusaha atau bank akan berkongsi keuntungan tersebut dengan pelabur atau pelanggan, dan sekiranya mengalami kerugian, pelanggan atau pelabur akan menanggung kerugian tersebut. Dan ini berbeza daripada perbankan konvensional iaitu pulangan yang diperolehi adalah dalam bentuk faedah atau dividen. Di samping itu, pelaburan secara islam ini bertepatan dengan kaedah feqah yang bermaksud setiap pulangan adalah berisiko. Tambahan pula, perkongsian untung dan risiko dalam pelaburan secara islam adalah adil dan tidak membebankan mana-mana pihak, berbeza daripada pelaburan konvensional yang mana ianya menjanjikan pulangan tetap di awal kontak dan pelaburannya tidak melibatkan perkongsian yang adil di antara kedua pihak yang terlibat. Pulangan yang diterima di awal kontrak dalam pelaburan konvensional tersebut adalah riba dan ianya haram dalam islam. Dengan ini, pelaburan secara islam adalah salah satu alternatif yang tepat dan dapat digunakan bagi mengelak daripada aktiviti faedah.

 6. Kesimpulan

          Oleh itu, amalan faedah yang diamalkan dalam perbankan konvensional masa kini banyak memberi kesan negatif kepada individu, masyarakat mahupun negara. Dengan amalan faedah yang terdapat dalam perbankan konvensional, setiap individu perlulah berfikiran positif dan mencari pelbagai alternatif supaya tidak terjebak dengan amalan faedah yang dilakukan sekarang. Oleh hal demikian, pelbagai alternatif yang boleh dilakukan bagi mengelak daripada terjebak dengan aktiviti faedah atau bunga seperti jual beli, pembiayaan dan pelaburan secara islam serta pajak gadai Ar-Rahnu. Dengan alternatif yang ada, dapatlah kita menjalankan aktiviti atau urus niaga dengan baik tanpa ada gangguan dan tanggungan faedah yang menyebabkan kita terbeban dengan amalan tersebut. Di samping itu, dengan alternatif yang ada masyarakat akan mudah bantu-membantu antara satu sama lain dan dapat mengurangkan penindasan dalam menjalankan perniagaan dan secara langsung dapat meningkatkan pendapatan dan kemajuan Negara. 

 

Rujukan

Al-Quran Al-karim, Selangor, Malaysia. Al-Hidayah House of Quran Sdn. Bhd.

Azlan Khalili Shamsuddin. (2000). Riba: Alternatifnya dalam sistem bank Islam. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mustafa Daud. (1989). Pemikiran Politik dan Ekonomi Al-Maududi. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Ahmad Mahir Danial (23 November 2009 ). AL-BAI’ BITHAMAN AJIL: FIQH MUAMALAT. Google. Daripada http://mahir-al-hujjah.blogspot.my/2009/11/al-bai-bithaman-ajil-fiqh-muamalat.html

Huzaifah (9 Mei, 2011). Perbezaan Ar rahnu dengan pajak gadai dan perbezaan insuran & takaful. Google. Daripada http://thechiey.blogspot.my/2011/05/perbezaan-ar-rahnu-dengan-pajak-gadai.html 

Zunaidah Zainon (28 Mac 2006). AR-RAHNU PAJAK GADAI ISLAM PERTAMA DI DUNIA. Dipetik pada 13 Februari 2016. Daripada http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/1023/AR-RAHNU-PAJAK-GADAI-ISLAM-PERTAMA-DI-DUNIA

Zaharuddin Abd Rahman (1 Mac 2007). Riba Dalam Bentuk Semasa Di Bank Konvensional. Dipetik pada 8 Februari 2016. Daripada http://zaharuddin.net/hal-ehwal-riba/301-riba-dalam-bentuk-semasa-di-bank-konvensional.html

 

Comments

Popular posts from this blog

Langkah-Langkah Mewujudkan Matlamat Hidup.

Kekangan Pembelajaran Jarak Jauh (PJJ) OUM

Bagaimana Sistem Pembelajaran MyVle OUM Membantu Meningkatkan Pembelajaran..?